Latar belakang


Pandangan dari luar



 Sekolah Kebangsaan Toh Sajak telah ditubuhkan pada tahun 1900 dengan nama asalnya Sekolah Melayu Sungai Akar.Tuan Syeikh Umar merupakan guru dan Guru Besar pertama di sekolah ini. Kerajaan British yang sedang memerintah ketika itu mendirikan sebuah bangunan JKR No.3 sebagai bangunan pertama bagi menampung 60 orang murid.

    Setelah bangunan kedua dibina, tidak lama kemudian zaman pendudukan Jepun bermula pada tahun 1941.Sekolah Melayu Sungai Akar kemudian dijadikan pusat perntadbiran askar Jepun bagi kawasan Batu Kurau.

    Datuk Mohd Sajak Bin Pandak, JP merupakan tokoh yang disegani di Batu Kurau.Beliau merupakan penghulu besar Mukim Batu Kurau dari tahun 1920-1930.Pada tahun 1951,beliau telah dilantik oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Sri Sultan Perak sebagai Orang Besar 32 dan diberi gelaran Datuk Ratna Sakti.Bagi menghargai jasa beliau, Sekolah Melayu Sungai Akar telah diberi nama Sekolah Kebangsaan Toh Sajak.

    Sekolah Kebangsaan Toh Sajak sebenarnya tidaklah terletak di lokasi sekarang,tetapi didirikan di tapak Sekolah Kebangsaan Batu Kurau. Pada tahun 1963,berikutan sistem pendidikan yang telah diperkemaskan Sekolah Kebangsaan Toh Sajak didirikan dilokasi baharu iaitu lokasi sekarang.

    Berikutan bilangan murid yang terlalu ramai,sekolah ini terpaksa menjalankan 2 sesi persekolahan iaitu di sebelah pagi dan petang. Infrastruktur baharu dibina dari semasa ke semasa dan pada April 2002 Sekolah Kebangsaan Toh Sajak menerima bangunan baharu 4 tingkat bernilai hampir RM 2.5 juta.

    Sekolah Kebangsaan Toh Sajak, pada masa kini mempunyai seramai 314 orang murid dan digerakkan oleh 29 orang guru bersama 16 orang staf sokongan.